10 Negara Sertai Persidangan ACAMM, ASMAM

MELAKA, 16 Nov — Sebanyak 10 negara menyertai 27th ASEAN Chiefs of Army Multilateral Meeting (ACAMM) dan 14th ASEAN Sergeant Majors Annual Meeting (ASMAM) bermula hari ini hingga Khamis.

Dalam kenyataan hari ini, Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan memaklumkan persidangan empat hari itu menjadi platform utama untuk mengeratkan hubungan persahabatan, persefahaman serta kerjasama ketenteraan dan pertahanan.

“Bertemakan ‘Fostering Collective Preparedness Among ASEAN Land Forces for a Stable and Secure Region’, ACAMM ke-27 memberi penekanan khusus kepada usaha memperkukuh kesiagaan bersama dan kerjasama erat antara angkatan darat ASEAN.

“ASMAM ke-14 yang bertemakan ‘Forging Cohesive and Disciplined Forces: Senior Enlisted Leaders Leading Readiness, Resilience and Professionalism in a Complex Security Environment’ pula memfokuskan kepada aspek kepimpinan, disiplin, kesiagaan, dan profesionalisme anggota,” menurut kenyataan itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam ACAMM ke-27 dan ASMAM ke-14 yang dianjurkan Tentera Darat Malaysia (TDM) malam ini.

Majlis makan malam itu diserikan dengan ucapan aluan daripada Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman dan persembahan kebudayaan oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) yang mengetengahkan keunikan warisan serta kepelbagaian budaya Malaysia kepada delegasi.

Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Mohd Shauari Mat Piah serta Pegawai-Pegawai Kanan TDM yang menyertai persidangan.

ACAMM merupakan platform pertemuan tahunan Panglima-Panglima Tentera Darat negara anggota ASEAN yang mula dianjurkan pada 2000 di Thailand. 

ASMAM pula persidangan tahunan yang menghimpunkan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat serta Pemimpin Pegawai Tanpa Tauliah Kanan dari negara anggota ASEAN.