Xi Seru Buka Lembaran Baharu dalam Pembangunan GBA

Presiden China Xi Jinping menyeru agar usaha berterusan dipergiat bagi memajukan pembangunan bersepadu sepanjang muara Sungai Mutiara dan menyingkap lembaran baharu dalam pembangunan berkualiti tinggi Kawasan Teluk Besar (GBA) Guangdong-Hong Kong-Macau. 

Beliau membuat kenyataan itu ketika melakukan tinjauan di bandar Zhongshan, provinsi Guangdong, selatan China pada Isnin.

Apabila melawat pulau buatan projek Shenzhen-Zhongshan Link, iaitu lintasan merentasi laut yang menghubungkan Shenzhen, Zhongshan dan Guangzhou, Xi menekankan keperluan untuk meningkatkan lagi pengurusan dan operasi kemudahan pengangkutan mega itu bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembangunan GBA.

Ketika berada di sebuah taman perindustrian di Zhongshan, Xi diberi taklimat mengenai usaha setempat untuk menggerakkan transformasi dan penaiktarafan industri tradisional dan membangunkan sektor memuncul.

Usaha membina GBA merupakan perancangan strategik utama, kata beliau sambil menyeru agar bandar di sepanjang muara Sungai Mutiara termasuk Guangzhou, Shenzhen, Zhuhai, Dongguan dan Zhongshan memainkan peranan sebagai perintis pembangunan.

Xi turut menzahirkan harapan agar Zhongshan merebut peluang ini untuk menjadikan reformasi dan inovasi sebagai penggerak utama, menambah baik mekanisme kerjasama antara wilayah, mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta memperkasa integrasi antara inovasi teknologi dan inovasi perindustrian.