APMM Gagalkan Kemasukan 15 Pendatang Tanpa Izin Di Perairan Port Dickson

PORT DICKSON, 5 Mei — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan kemasukan 15 pendatang tanpa izin warga Indonesia, termasuk seorang tekong di perairan Port Dickson awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan. 

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi itu, bot APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot berkenaan tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah bagi memasuki negara ini. 

“Pemeriksaan rapi ke atas bot tersebut turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang dileraikan bersama lima butir peluru hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua individu terlibat dan rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Senjata Api 1971.