DAP Konsisten Bawa Reformasi Dalam Kerajaan Perpaduan – Gobind

PUCHONG, 25 April — DAP akan terus konsisten memperjuangkan agenda reformasi dan pembaharuan meskipun mengakui pelaksanaannya memakan masa kerana memerlukan persefahaman serta kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata sebagai sebahagian daripada pentadbiran hari ini, parti itu tetap berpegang teguh kepada janji untuk membawa perubahan besar kepada negara.

“Apabila kita sebut berkenaan dengan reformasi, kita perlu ingat bahawa ia mengambil masa. Ini penting kerana kita sekarang dalam satu kerajaan yang terdiri daripada pihak berlainan.

“Kita perlu mendapat persetujuan sebelum kita dapat bergerak ke hadapan dan ini adalah satu perkara yang saya minta persefahaman daripada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong di sini malam ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Gobind berkata DAP tidak pernah berganjak daripada prinsip asalnya dalam melakukan pembaharuan, termasuk melibatkan akta yang dianggap kontroversi.

Mengambil contoh isu pemansuhan Akta Hasutan 1948, beliau berkata DAP adalah parti yang berterusan meminta undang-undang itu dipinda dan pendirian berkenaan kekal hingga sekarang.

“Tetapi oleh kerana tidak dapat persetujuan yang tertentu, maka kita tidak dapat laksanakan (pemansuhan) buat masa ini. Apa yang penting adalah untuk semua faham bahawa kita dalam proses mengambil tindakan supaya dapat membawa pembaharuan ini,” katanya.

Gobind berkata beliau telah membangkitkan dalam Kabinet isu penggunaan Akta Hasutan terhadap pengkritik kerajaan, mendorong Kabinet menegaskan semula pendirian bahawa akta tersebut tidak akan digunakan dalam kes sedemikian.

Beliau juga telah bercakap dalam Kabinet mengenai pengharaman terbaharu buku oleh Kementerian Dalam Negeri, yang selepas itu Menteri Dalam Negeri memutuskan untuk menyemak semula pengharaman tersebut.

Selain itu, Gobind berkata DAP juga telah menggesa pembaharuan terhadap undang-undang seperti  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang pindaan sedang dijalankan, had dua penggal untuk Perdana Menteri yang akan dibentangkan semula di Parlimen pada Jun, serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Beliau berkata komitmen DAP untuk bergerak ke hadapan bukan sahaja tertumpu kepada penambahbaikan ekosistem perundangan, malah merangkumi usaha memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Kerajaan Perpaduan memerlukan sokongan  yang berterusan daripada rakyat dalam melakukan reformasi yang ditekankan oleh DAP dan meminta agar rakyat memahaminya.

“Kita kena ada kesabaran dengan reformasi, kesabaran dengan penyampaian, dan kesabaran dengan kepercayaan,” katanya.

Pada masa sama beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI perlu memastikan kestabilan politik terus terjamin, sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran semasa.