Hina Sultan Selangor: Pihak Berkuasa Teliti, Laksana Analisa Forensik – Fahmi

KUALA LUMPUR, 29 April — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama dengan Meta dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneliti dan melaksanakan analisa forensik berhubung siasatan hantaran gambar berbentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia susulan seorang lelaki yang dirakam percakapan oleh pihak MCMC tidak mengaku bahawa beliau memuat naik kandungan dipercayai mengandungi unsur 3R (raja, agama, kaum) yang menghina Sultan Selangor.

“Antara perkara sedang dalam penelitian adalah sama ada wujud elemen akaun palsu atau elemen ejen provokasi yang sengaja menghasilkan, mewujudkan akaun palsu untuk memuat naik sebuah kandungan yang kemudian memangsakan pihak lain selain daripada menimbulkan amarah umum,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan akaun palsu diwujudkan itu bagi memuat naik kandungan bersifat 3R dan menyerahkan kepada PDRM serta MCMC untuk membuat kenyataan lanjut.

Isnin lepas, MCMC merakam percakapan seorang individu yang merupakan pentadbir akaun Facebook “HuaYan The Pureland Learning Centre” berhubung hantaran gambar berbentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor.