Imigresen Johor Tahan 108 Pekerja Asing Dalam Ops Bersepadu

JOHOR BAHRU, 22 Julai — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 108 pekerja warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di premis perniagaan sekitar Taman Sri Bahagia di sini, Isnin lepas.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan di lokasi yang telah dikenal pasti pada 8 malam.

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 14 warga Indonesia (12 lelaki, dua wanita), 17 warga Nepal (15 lelaki, dua wanita), empat lelaki India, 25 warga Myanmar (22 lelaki, tiga wanita), 32 lelaki Bangladesh dan 16 lelaki Pakistan dipercayai bekerja di premis berkenaan, berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun. 

“Semakan turut dilakukan ke atas dokumen perjalanan, pas dan permit bagi memastikan mereka mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

“Sebanyak dua keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, membanteras penyalahgunaan pas lawatan, pas kerja dan kemudahan imigresen.