PUTRAJAYA, 15 April — Sekumpulan warga asing yang didakwa menjadikan stesen bas di sekitar Changlun dan Jitra, Kedah sebagai lokasi transit merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah dan telah melalui prosedur pemeriksaan imigresen yang ditetapkan di pintu masuk negara.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban berkata semakan itu dibuat susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk setempat apabila perkara tersebut tular di media sosial baru-baru ini.
“Sehubungan itu, pemantauan lanjut akan terus dipertingkatkan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan dalam negara bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa terpelihara.
Zakaria menegaskan setiap kemasukan warga asing ke Malaysia adalah tertakluk kepada prosedur pemeriksaan dan kawalan yang ditetapkan di pintu masuk negara.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan yang tepat dan berkesan dapat dilaksanakan.
Sebelum ini tular di laman Facebook beberapa gambar yang mendakwa warga asing menjadikan stesen bas di Changlun dan Jitra sebagai lokasi transit sebaik melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara sebelum menaiki pengangkutan awam ke ibu kota.

















Tinggalkan Balasan