PUTRAJAYA, 7 Julai — Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan mengeluarkan, menerbitkan atau mengesahkan infografik bertajuk “Ranking Kebersihan Negeri Malaysia 2024” yang tular di pelbagai platform media sosial dan aplikasi pesanan.
JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media, laporan rasmi atau maklum balas berkaitan dakwaan penarafan atau kedudukan negeri seperti dipaparkan dalam infografik tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai, menyebarkan, berkongsi atau menjadikan maklumat itu sebagai rujukan rasmi tanpa pengesahan daripada jabatan kerana tindakan itu boleh mengelirukan masyarakat serta mencetuskan salah faham terhadap fakta sebenar,” menurut kenyataan itu.
Bagi mengelakkan kekeliruan, JAS memaklumkan kenyataan media, laporan, statistik, infografik, hebahan dan maklumat rasmi hanya disiarkan melalui saluran komunikasi rasmi, iaitu http://www.doe.gov.my, Facebook @JabatanAlamSekitar, Instagram @jabatanalamsekitar, X @jasmalaysia, TikTok @jas_malaysia_official dan YouTube @JabatanAlamSekitar.
Jabatan itu menyeru semua pihak supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui saluran rasmi JAS sebelum mempercayai atau menyebarkan maklumat tersebut.
“Penyebaran maklumat yang tidak disahkan bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap maklumat rasmi berkaitan pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
JAS menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan nama, logo, identiti korporat atau penyiaran maklumat yang mengelirukan sehingga boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti jabatan.
Sehubungan dengan itu, JAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang terhadap pihak yang didapati menyalahgunakan identiti atau menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkannya dengan jabatan tersebut.
“JAS akan terus komited memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada orang awam adalah tepat, sahih, telus dan berintegriti selaras dengan tanggungjawab jabatan sebagai pihak berkuasa dalam pengurusan dan perlindungan alam sekitar negara,” menurut kenyataan itu.
















Tinggalkan Balasan