AirBorneo Buka Jualan Tiket Bagi Laluan Kuala Lumpur

KUCHING, 7 Julai — Syarikat penerbangan milik Kerajaan Negeri Sarawak, AirBorneo Airways (AirBorneo), hari ini mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan ke Kuala Lumpur, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usahanya memperkukuh hubungan udara antara negeri itu dengan Semenanjung Malaysia.

AirBorneo dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan baharu itu akan beroperasi sebanyak dua kali sehari di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

“Bagi meraikan pelancaran ini, AirBorneo memperkenalkan tambang ‘Sarawakku Sayang’ sebanyak RM375 sehala bagi tiket Kelas Ekonomi dan RM736 sehala untuk tiket Kelas Perniagaan termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api.

“Tempahan dibuka hari ini dengan perjalanan bermula pada 20 Julai. Tiket boleh didapati secara eksklusif melalui laman web AirBorneo www.airborneo.com dan aplikasi mudah alih AirBorneo,” menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan penawaran tiket secara eksklusif menerusi saluran tempahan rasmi bertujuan memastikan pelanggan menikmati tambang terendah yang disahkan, harga yang telus, transaksi selamat, sokongan pelanggan secara langsung dan kemas kini tempahan pada masa nyata.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata pembukaan jualan tiket untuk laluan ke Kuala Lumpur itu menandakan satu peristiwa penting untuk pertumbuhan AirBorneo kerana perkhidmatan itu terus memperkukuh kesalinghubungan Sarawak dengan seluruh Malaysia dan destinasi antarabangsa.

“Kuala Lumpur ialah pintu masuk strategik yang meluaskan akses ke destinasi domestik dan antarabangsa yang lebih luas, mewujudkan peluang yang lebih besar untuk pelancongan, perdagangan, pelaburan dan perniagaan.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan Sarawak, kami komited menghubungkan pelanggan, perniagaan, dan peluang melalui perjalanan yang selamat, boleh dipercayai dan harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata pengenalan tambang ‘Sarawakku Sayang’ ialah sebahagian daripada komitmen berkenaan, menjadikan perjalanan lebih mudah diakses sambil menyokong hasrat Sarawak untuk hubungan yang lebih kukuh, pelancongan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Perkhidmatan komersial pertama pada 20 Julai itu akan beroperasi bagi laluan Kuala Lumpur–Kuching, dengan 100 tempat duduk ditawarkan untuk jualan, manakala perkhidmatan tetap dua kali sehari antara dua laluan berkenaan akan bermula pada 21 Julai.