JOHOR BAHRU, 7 Julai — Sebanyak 36.3 peratus atau 4,257 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, setakat 10.30 pagi ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata setakat ini, proses pengundian melibatkan pegawai dan anggota PDRM itu berjalan dengan lancar di kesemua 53 pusat mengundi awal di seluruh negeri.
“Peratusan keseluruhan pengundi yang keluar hanya akan diketahui selepas semua pusat pengundian ditutup sepenuhnya petang nanti,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata hingga kini, tiada sebarang aduan atau kejadian dilaporkan yang boleh menjejaskan integriti serta kelancaran proses pengundian awal tersebut.
Mengulas perkembangan sepanjang tempoh berkempen, Ab Rahaman berkata majoriti laporan polis dan kertas siasatan yang dibuka melibatkan kes khianat terhadap peralatan serta bahan kempen seperti bendera dan papan iklan parti politik.
Dalam pada itu, ketika ditanya status laporan polis terhadap bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, beliau berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.
Sebelum ini, PDRM mengesahkan telah menerima 153 laporan polis di seluruh negara berhubung kenyataan Mohd Puad yang mendakwa terdapat campur tangan pihak istana dalam pembubaran DUN Johor.
Sebanyak 64 pusat mengundi termasuk 11 pusat mengundi untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi membolehkan 20,607 pengundi berdaftar menjalankan amanah mereka hari ini.
Kesemua pusat mengundi itu akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang ini, bergantung pada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.
PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
Di MERSING, proses pengundian awal di Dewan Jenalik, Kem Iskandar lancar dan terkawal sebaik pusat pengundian dibuka secara rasmi pada 8 pagi tadi.
Tinjauan Bernama mendapati warga pasukan keselamatan yang layak mengundi hadir menunaikan tanggungjawab mereka dalam suasana teratur dengan pematuhan prosedur ditetapkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman turut meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau proses pengundian tersebut pada 11 pagi, selain beramah mesra dengan anggota tentera serta petugas SPR yang terlibat.
Beliau turut menerima taklimat ringkas daripada Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab dengan diiringi Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.
Pengundian awal di Markas 21 GGK itu melibatkan sebanyak 1,472 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 1,164 anggota tentera dan 308 pasangan.
Daripada jumlah itu, 1,124 ialah pengundi kekal, 323 mengundi secara pos, manakala 23 lagi berstatus tidak aktif.
Ketiga-tiga calon yang bertanding bagi kerusi DUN Tenggaroh, iaitu Muhamad Amerul Muhamad (PN), Mohd Youzaimi Yusof (BN) dan Md Yusof Dawam (PH) turut hadir bagi meninjau proses pengundian di pusat berkenaan.
















Tinggalkan Balasan