KDN Meterai Perolehan Kapal MPMS Kedua APMM, Dijangka Siap 2028

PUTRAJAYA, 21 April — Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memeterai kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dijangka siap pada 2028 sekali gus memperkukuh keupayaan keselamatan maritim negara.

Kontrak itu ditandatangani Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman bersama-sama wakil syarikat Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu dan disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Perolehan kapal MPMS kedua diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Kelima (RMK12, RP5) Tahun 2025 dan dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard, Turkiye dengan nilai kontrak sebanyak USD83.75 juta (RM331.36 juta).

Saifuddin Nasution berkata perolehan aset MPMS sebahagian daripada keutamaan Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa berada pada tahap tertinggi selain memperkukuh keupayaan operasi agensi dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan projek itu selama 24 bulan, iaitu dari 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.

“Kami mempunyai keyakinan tinggi Desan Shipyard berupaya untuk menyiapkannya berasaskan kepada MPMS pertama yang sedang dalam pembinaan. Saya dimaklumkan perkembangannya sangat baik, bermakna mendahului jadual,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pembinaan kapal MPMS pertama APMM yang dijangka siap pada tahun depan akan menjadi mercu tanda kebanggaan agensi itu serta akan dipamerkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027). 

Mengenai aspek pengoperasian dua kapal MPMS, beliau berkata ia akan ditentukan APMM dan perolehan aset itu akan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan negara dalam menangani sebarang ancaman.

“Ia untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara kita yang luas, seperti sering saya sebutkan, 590,000 kilometer persegi, iaitu sangat luas.

“Kita berhadapan dengan pencerobohan kapal asing ataupun nelayan asing yang boleh menjejaskan hasil laut atau ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Sementara itu, KDN dalam kenyataan memaklumkan Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal MPMS kedua diserahkan kepada Desan Shipyard pada 7 Jan 2026 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ankara, Turkiye.