Kemelut Negeri Sembilan: Menteri Besar Menghadap Tuanku Muhriz Hari Ini

SEREMBAN, 29 Sept — Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dijadualkan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini, hari ini.

Kenderaan membawa Ismail dilihat memasuki istana kira-kira 10.50 pagi ini.

Terdahulu, turut dilihat memasuki istana berkenaan ialah kenderaan Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.

Difahamkan perjumpaan tersebut susulan isu berkaitan pentadbiran serta kemelut semasa di negeri ini.

Pengamal media mula berkumpul di hadapan istana tersebut kira-kira 10 pagi ini bagi mengikuti perkembangan semasa.

Sebelum ini, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 Sept dan pembatalan itu diwartakan pada 24 Sept.

Exco berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.