PUTRAJAYA, 25 April — Tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan untuk menganjurkan konvoi Mat Motor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan merupakan suatu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata kawasan lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatan perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak terganggu.
“Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?.
“Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Adakah pihak penganjur telah mendapat kelulusan?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi di LTSIP, Loke berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik untuk mengadakan sekatan jalan raya petang ini.
Langkah berkenaan, katanya bertujuan memeriksa semua motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang petang ini tanpa pengecualian termasuk mana-mana Yang Berhormat (YB) yang membawa motor.
Media sebelum ini melaporkan satu program konvoi motosikal dan sesi lepak santai bersama wakil rakyat Kelantan akan diadakan hari ini dengan lokasi tumpuan termasuk bangunan baharu LTSIP.
















Tinggalkan Balasan