IPOH, 8 Mei — Pasir silika dianggarkan seberat 5,000 tan serta pelbagai peralatan memproses mineral itu bernilai kira-kira RM7.25 juta, dirampas dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis tanpa kelulusan sah di Kampar, semalam.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata menerusi Ops Bersepadu Khazanah (OBK) itu, turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun yang dipercayai merupakan pemilik perniagaan dan pemandu lori.
Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, terlibat dalam operasi tersebut.
Balveer Singh berkata operasi tersebut, dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan sebuah lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan pasir silika tanpa kelulusan, di Kampar.
“Hasil siasatan awal mendapati premis ini telah beroperasi sejak tahun 2024 dan tidak pernah diserbu sepanjang perniagaan dijalankan. Fasiliti di lokasi tersebut digunakan khusus untuk memproses pasir silika sebelum disimpan dan seterusnya dieksport ke luar negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Balveer Singh berkata bekalan pasir yang ditemukan di lokasi, diperoleh dari sebuah tapak projek perumahan yang terletak di kawasan sekitar Ipoh.
Beliau berkata dalam operasi yang sama, pemeriksaan oleh pegawai PTG Perak terhadap dua lori yang membawa muatan pasir mendapati, kedua-dua pemandu gagal mengemukakan dokumen pemindahan mineral berkaitan pemindahan pasir.
“Butir-butir rampasan melibatkan pelbagai mesin, jentera dan peralatan memproses pasir silika, longgokan pasir dianggarkan seberat 5,000 tan serta sebanyak 500 beg jumbo berisi mineral jenis amang,” katanya.
Balveer Singh berkata bagi kesalahan memproses pasir silika tanpa lesen, pihak JMG menjalankan siasatan di bawah Peraturan 6 (4), Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016, manakala kesalahan memindahkan pasir tanpa kelulusan pula, kes diserahkan kepada PTG Perak dan siasatan mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara.
Justeru, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral tanpa kelulusan sah, kerana aktiviti itu boleh mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar dan keselamatan awam.
“Usaha risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti, membanteras dan mengekang sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemprosesan mineral tanpa lesen diminta menyalurkan maklumat kepada Briged Utara Pasukan Gerakan Am bagi tindakan segera,” katanya.

















Tinggalkan Balasan