Polis Kenal Pasti Sindiket, Individu Punyai Kaitan Kes Rampasan Dadah Di Laos

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Polis telah mengenal pasti sindiket dan beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tangkapan serta rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan setakat ini telah merakam keterangan beberapa saksi, termasuk seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai broker bagi urusan penyewaan pesawat berkenaan.

Beliau berkata pesawat itu disewa oleh seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun yang dikenal pasti sebagai bekas juruterbang dan mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asalnya.

“Siasatan turut mendedahkan penglibatan seorang wanita warga Filipina berusia 51 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata kes itu kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Khas JSJN di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, berkaitan persubahatan atau persediaan di Malaysia bagi kesalahan pengedaran dadah di luar negara.

Beliau berkata JSJN turut menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Luar serta Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Hussein, JSJN kekal komited dalam usaha memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.

Pada 1 Okt lepas, polis Laos merampas 521 kilogram kristal methamphetamine di dalam sebuah jet persendirian Learjet yang tiba dari Subang.

Susulan kejadian itu, 13 individu termasuk warganegara Malaysia, Singapura dan Filipina ditahan oleh pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.

Pada 7 Okt, polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik jet peribadi terbabit dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.