KUALA LUMPUR, 13 Okt — Pelarian yang memasuki Malaysia selepas Januari 2023 tidak akan dipertimbangkan untuk menerima Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengelakkan sistem pendaftaran itu dijadikan faktor penarik kemasukan warga asing baharu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertimbangan bagi pemberian DPP hanya terhad kepada pelarian sedia ada yang telah berada di negara ini sebelum atau sehingga tarikh berkenaan.
“Bermula kita umumkan DPP sebagai satu mekanisme pendaftaran, tarikh akhir kita adalah Januari 2023, maksudnya pelarian yang masuk selepas itu (selepas Januari 2023) mereka tidak akan diberikan peluang untuk kita pertimbangkan di bawah DPP.
“Kita proses yang sedia ada… tidak akan jadi faktor penarik macam yang disampaikan oleh Yang Berhormat, kita dah mengambil langkah awal perkara itu dulu,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan DPP tidak membolehkan sindiket mengambil kesempatan mewujudkan pendaftaran baharu bagi kemasukan pelarian.
Saifuddin Nasution berkata langkah itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa menumpukan perhatian kepada usaha melengkapkan profil dan pangkalan data membabitkan kira-kira 225,000 pelarian yang dilaporkan berada di Malaysia oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata data sedia ada daripada UNHCR adalah anggaran angka yang tidak mengandungi maklumat terperinci seperti nama, umur, lokasi keberadaan atau profil keselamatan individu berkenaan.
Menerusi pelaksanaan DPP, katanya KDN menjalankan proses pendataan secara menyeluruh merangkumi pendaftaran maklumat peribadi, saringan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen serta pengambilan data biometrik.
Saifuddin Nasution berkata sasaran pendataan tahun ini melibatkan kira-kira 4,000 pelarian di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) untuk DPP fasa pertama yang bermula Januari tahun ini, dan 2,000 di luar depoh, sebelum ditingkatkan kepada 20,000 orang pada tahun hadapan.
Beliau berkata proses pendataan itu bukan bermula dalam keadaan vakum kerana KDN kini memegang kira-kira 30,000 data pelarian yang lengkap dengan nama serta maklumat majikan hasil pelaksanaan fasa awal yang dimulakan pentadbiran sebelum ini.
“Sekarang kami perluaskan lagi untuk memastikan data kita itu boleh dipercayai . Data yang boleh dipercai membantu kita untuk menggubal satu dasar awam yang lebih nyata, boleh diukur, boleh disukat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung tindakan beberapa aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat tindakan sendiri terhadap pelarian, Saifuddin Nasution mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan di luar lunas undang-undang.
Beliau berkata kerajaan memahami keresahan masyarakat terhadap isu berkenaan, namun sebarang dakwaan berhubung salah guna dokumen atau kemasukan pelarian perlu disalurkan mengikut saluran rasmi.
“Misalnya, ada yang sampai pergi ke kem pelarian, kemudian dia buat satu hantaran dia kata dia mengesan bahawa kemasukan pelarian luar ke negara kita menggunakan pasport sebuah negara. Masuk kemudian dapat kad UNHCR. Saya anggap itu kekal sebagai dakwaan.
“… kalau adanya dakwaan seperti itu, menjadi tanggungjawab mereka untuk mendekati kita, pihak autoriti bagi menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sesuai dengan undang-undang dalam negara kita,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai kebenaran bekerja bagi pelarian yang berdaftar di bawah DPP, beliau berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan memanfaatkan data pelarian yang berdaftar dan melepasi saringan keselamatan bagi mengisi keperluan tenaga kerja.
Mengenai isu pelarian etnik dari Myanmar, Saifuddin Nasution berkata menerusi mekanisme ASEAN, Kerajaan Myanmar dalam rundingan dua hala sebelum ini telah bersetuju untuk menerima penghantaran pulang warganya daripada semua etnik dengan kos pembiayaan ditanggung sendiri oleh negara berkenaan.












Tinggalkan Balasan