AI Turut Digunakan Dalam Pelaksanaan MLFF – Nanta

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Teknologi kecerdasan buatan (AI) akan turut digunakan dalam pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) apabila sistem itu dilaksanakan sepenuhnya kelak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata AI turut diaplikasikan dalam pengurusan, perancangan dan penyelenggaraan jalan raya, termasuk jalan Persekutuan dan jalan negeri.

Beliau berkata penggunaan teknologi berkenaan dalam sektor jalan raya juga adalah selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur pintar negara.

“Kita mesti bersama dengan pemain industri di seluruh dunia sebab teknologi ini sangat dinamik. AI  tentulah kita sudah gunakan dalam mengurus, merancang dan menyelenggara jalan raya.

“MLFF nanti apabila dilaksanakan sepenuhnya, sudah tentulah menggunakan AI juga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-13 dan Kongres Jalan Asia Pasifik ke-6 di sini hari ini.

Mengenai persidangan bertemakan Transforming the Nation through Future-Ready Roads, Nanta berkata platform itu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, berdaya tahan dan mampan, serta menjadi platform bagi pemain industri serta profesional kejuruteraan dari dalam dan luar negara berkongsi pengetahuan dan perkembangan teknologi terkini.

Beliau berkata penganjuran persidangan itu penting bagi memastikan Malaysia terus mengikuti perkembangan teknologi kejuruteraan jalan raya yang dinamik, khususnya dalam era digital yang menyaksikan penggunaan AI dan Internet Benda (IoT) semakin meluas.

Menurutnya, persidangan diadakan setiap dua tahun itu menerima penyertaan lebih 1,000 peserta dan menampilkan 121 kertas kerja teknikal merangkumi 10 subbidang, selain 112 ruang pameran yang mengetengahkan teknologi dan penyelesaian kejuruteraan jalan raya.

“Jadi, ini juga memberi kesempatan kepada kita untuk melihat sendiri teknologi, penyelesaian kejuruteraan dan sebagainya yang dipamerkan,” katanya.

Beliau berkata program itu turut memberi peluang kepada jurutera tempatan menimba ilmu dan bertukar pengalaman dengan profesional antarabangsa, termasuk melalui inisiatif Young Engineers and Professionals (YEP) dan pameran inovasi bertaraf tinggi melalui Malaysian Road Conference Invention & Innovation Exhibition 2026 (MRC-IIE 2026).

Selain tumpuan kepada pembangunan bakat muda dalam bidang kejuruteraan jalan raya, pertandingan AI Pathfinders turut diperkenalkan bagi meneroka penggunaan AI dalam kejuruteraan jalan raya, katanya.

Nanta berkata Malaysia juga perlu memanfaatkan platform antarabangsa seumpama itu untuk memperkukuh kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam industri kejuruteraan jalan raya.