Rafizi Dakwa Urusan Pelaburan RM1.1 Bilion Dilakukan Dengan Teratur, Patuhi Prosedur


PUTRAJAYA, 6 Mei — Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa segala urusan berkaitan dokumen dan perjanjian berhubung pelaburan RM1.1 bilion dengan Arm Holdings dilakukan secara teratur serta mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

Beliau berkata semua rekod penting termasuk minit mesyuarat, dokumen rasmi serta perjanjian berkaitan sememangnya wujud, dan yakin bahawa bukti-bukti itu boleh dikemukakan di mahkamah, jika perlu.

“Minit, dokumen dan perjanjian iu semua memang dah ada… jadi, sebab itu saya sangat yakin sebenarnya ia teratur dan terurus dari segi peraturan dan prosedurnya sebagaimana yang saya ingat telah melalui prosesnya dahulu semasa saya dalam kerajaan,” katanya.

Rafizi berkata demikian kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini selepas hampir lima jam dirakam keterangan.

Beliau tiba pada 1.50 tengah hari bagi meneruskan proses rakaman keterangan pada hari ketiga untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan syarikat itu yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar dalam kenyataan memaklumkan bahawa rakaman percakapan Rafizi selesai pada kira-kira 7 malam ini.

“Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari keempat esok yang dijangka dibuat sebelah pagi,” katanya.