ARAU, 15 Nov — Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dilantik semula sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi tempoh lima tahun bermula 13 Dis 2026 hingga 12 Dis 2031.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan semula itu mencerminkan kesinambungan peranan dan komitmen Raja Puan Muda Perlis dalam menyokong kepimpinan serta kecemerlangan UniMAP, khususnya dalam memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan dan reputasi universiti.
Majlis pelantikan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP bersempena dengan sidang pertama istiadat konvokesyen ke-21 universiti itu di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra di sini semalam.
Turut berangkat anakanda puteri baginda berdua Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pro Canselor UniMAP serta Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.














Tinggalkan Balasan