Serian Dan Kuching Terus Rekod Kualiti Udara Tahap Berbahaya

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Kualiti udara di Serian dan Kuching, Sarawak masih berada pada tahap berbahaya setakat 4 petang ini.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 514 manakala Kuching mencatatkan bacaan 313.

Dua lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Samarahan dengan bacaan 288 dan Sri Aman (239).

Sebanyak 13 stesen pula merekodkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan enam kawasan di Sarawak, iaitu Sarikei (183), Sibu (181), Mukah (178), Bintulu (159), Samalaju (153) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (152), manakala empat lagi di Johor dan tiga di Sabah.

Di Johor, bacaan IPU tidak sihat direkodkan di Pasir Gudang (151), Segamat (116), Larkin (126) dan Kota Tinggi (129) sementara di Sabah melibatkan kawasan Tawau (153), Sandakan (128) dan Politeknik Kota Kinabalu (151).

Dalam pada itu, 38 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana manakala 13 kawasan mencatatkan bacaan baik.