PUTRAJAYA, 1 Okt — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bukan sekadar mengurus dokumen pengenalan diri, malah memikul amanah besar memelihara rekod kehidupan dan identiti rakyat Malaysia merentas generasi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata skala tanggungjawab itu dapat dilihat apabila lebih 2.03 juta kelahiran dan 968,355 kematian didaftarkan JPN dalam tempoh 2022 hingga 15 Sept lepas, selain 23,170 pendaftaran pengangkatan dan lebih 25 juta pemegang MyKad.
“Ketika seorang anak dilahirkan, kelahirannya didaftarkan. Apabila meningkat usia, identitinya direkod dan MyKad menjadi dokumen penting dalam pelbagai urusan kehidupan.
“… apabila membina keluarga, perkahwinan didaftarkan. Begitu juga pengangkatan, kewarganegaraan dan akhirnya rekod kematian. Di sepanjang perjalanan itu, ada JPN,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena ulang tahun ke-78 JPN hari ini.
Saifuddin Nasution berkata sejarah pendaftaran penduduk negara bermula sejak 1869 dengan rekod kelahiran terawal diwujudkan di Pulau Pinang, manakala hampir 500 juta rekod fizikal kependudukan kini dipelihara JPN sebagai khazanah rekod negara.
Beliau berkata ukuran sebenar perkhidmatan awam JPN bukan hanya berdasarkan jumlah urusan yang diselesaikan di kaunter, sebaliknya sejauh mana kerajaan memastikan rakyat yang memerlukan tidak tercicir.
“Kerana tidak semua perjalanan hidup rakyat adalah sama. Ada yang tinggal jauh di pedalaman. Ada warga emas, orang kurang upaya dan mereka yang mempunyai kekangan untuk hadir sendiri mendapatkan perkhidmatan.
“Ada juga keluarga yang berdepan pelbagai masalah sehingga kelahiran anak tidak dapat didaftarkan dalam tempoh sepatutnya,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata JPN mengendalikan 55,788 permohonan pendaftaran kelahiran lewat di seluruh negara pada 2022 hingga 15 Sept lepas serta menyelesaikan kesemua isu pendaftaran melibatkan 12,101 pelajar melalui Program Menyemai Kasih Rakyat Didik sejak November 2024.
Beliau berkata selain 211 pejabat JPN di seluruh negara, pendekatan turun padang penting dilaksanakan JPN bagi memastikan perkhidmatan pendaftaran dapat dinikmati golongan yang menghadapi kekangan untuk hadir sendiri ke pejabat.
“Bagi sesetengah kita, sijil kelahiran atau kad pengenalan mungkin kelihatan seperti sekeping dokumen tetapi bagi seorang anak, dokumen itu membawa makna yang jauh lebih besar. Ia berkait dengan identiti dan membuka jalan kepada pelbagai urusan penting dalam kehidupannya,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata JPN perlu terus menjadi institusi yang cekap, berintegriti dan dekat dengan rakyat dengan memanfaatkan teknologi tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan, memperluas akses tanpa mengabaikan ketelitian serta memastikan setiap urusan dilaksanakan berlandaskan undang-undang.

















Tinggalkan Balasan