Nga Mahu Hasil Inovasi KPKT Diperluas, Beri Manfaat Skala Lebih Besar

PUTRAJAYA, 1 Okt — Setiap inovasi dibangunkan warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat menerusi penjimatan masa dan kos, pengoptimuman sumber serta penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas dan berkesan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ruang untuk berinovasi di KPKT amat luas kerana kementerian itu menguruskan perumahan, kerajaan tempatan, kebersihan dan pengurusan sisa pepejal, kebombaan serta perancangan bandar yang terlibat secara langsung dengan rakyat.

“Saya berharap penyertaan warga KPKT dalam pembudayaan inovasi akan terus diperkasakan dan diperluas agar inovasi tidak sekadar subur ketika pertandingan, sebaliknya menjadi amalan yang tekal (konsisten) dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Inovasi yang terbukti berkesan hendaklah diperluas, direplikasi dan diskalakan supaya manfaatnya dapat dirasai pada skala yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi KPKT (HIKPKT) 2026 di sini hari ini.

Nga turut menjanjikan hadiah sebulan gaji menteri kepada warga KPKT yang berjaya memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri sebagai galakan untuk terus memperkukuh budaya inovasi dalam kementerian itu.

HIKPKT 2026 yang bertemakan “Memperkasakan Inovasi, Memacu Prestasi, Menyejahtera Rakyat” menerima 54 penyertaan projek inovasi membabitkan 43 projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) serta 11 projek Anugerah Inovasi Menteri (AIM).

Dalam saingan AIM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menguasai dua kedudukan teratas apabila pasukan BM Fighter muncul johan menerusi projek Checkpoint Tracker manakala kumpulan Sungai Bakap Strategic meraih tempat kedua.

Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata Checkpoint Tracker dibangunkan untuk membantu pasukan penyelamat mengesan kedudukan individu sesat di hutan yang mengurangkan tempoh dan kos serta jumlah anggota terlibat dalam operasi pencarian.

“Kalau mangsa sesat di hutan, kita dapat tahu kedudukan mangsa yang membolehkan pasukan (pencarian) terus ke tempat itu untuk membawa mangsa keluar,” katanya.

Mohamad Shoki berkata sistem itu menggunakan teknologi sistem kedudukan sejagat (GPS), ciri kecemasan SOS dan sistem aplikasi web progresif (PWA) serta kod respons pantas (QR) yang perlu diimbas pendaki sebelum memasuki hutan yang membolehkan lokasi dan pergerakan mereka dipantau.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Muhammad Azizul Hakim Idris berkata pihaknya membangunkan inovasi Rescue Flex yang menggabungkan tiga fungsi bagi menangani kecederaan pada leher, tangan dan kaki yang dinobatkan sebagai johan kategori KIK Jabatan dan Agensi.

Beliau berkata inovasi itu bagi mengurangkan masa dan beban anggota penyelamat daripada perlu membawa pelbagai peralatan ketika operasi kecemasan seperti kemalangan atau menyelamat mangsa sesat.

“Cabaran paling utama adalah untuk kita mendapatkan idea yang mampu memberikan impak luar jangka. Dengan kerjasama semua pasukan, kita mampu membangunkan Rescue Flex ini pada kos yang rendah namun mempunyai impak cukup berkesan,” katanya.