KUALA TERENGGANU, 24 Sept (Bernama) — Seramai 40 wakil media asing dari seluruh dunia akan dibawa ke Terengganu dalam usaha mempromosi destinasi serta produk pelancongan tempatan dalam Program Pembelajaran Media dan Agensi Pelancongan (Famtrip) bermula 23 hingga 27 Okt depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia termasuk media utama, pelancongan serta blogger terkenal daripada Eropah, Australia, Jepun dan China.

Beliau berkata wakil-wakil media tersebut akan dibawa ke beberapa lokasi pelancongan utama seperti Taman Tamadun Islam (TTI), jambatan angkat dan muzium supaya mereka dapat mempromosi tempat-tempat tersebut melalui akhbar, laman sosial atau blog masing-masing.

“Famtrip sebagai satu cara kita mempromosikan Terengganu di peringkat dunia. Setakat ini kita jemput 40 orang dan mereka ini ada daripada akhbar, majalah pelancongan dan sebagainya yang sesuai untuk kita promosi produk pelancongan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Muzik Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Terengganu di sini hari ini.

Sementara itu Ariffin berkata beliau yakin kedatangan musim monsun yang bermula bulan depan tidak akan menjejaskan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini kerana mempunyai pelbagai tarikan lain selain pulau-pulau.

“Kita sedang pertingkatkan promosi bagi tarik kedatangan pelancong seperti di Kenyir kita ada ‘monsoon casting’ dan jambatan angkat (drawbridge) pula kita dah buka galeri kepada orang ramai.

“Walaupun pulau-pulau ditutup ia tidak menjejaskan jumlah pelancong terutama pada musim cuti sekolah akhir tahun yang biasanya lebih meriah dengan pelancong dari luar Terengganu,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here