PHNOM PENH, 20 Ogos – Kemboja melancarkan sistem pembayaran mudah alih pada Isnin, yang membolehkan pelancong mengimbas dan membuat bayaran di 3.3 juta peruncit di seluruh negara Asia Tenggara itu.

Bercakap pada majlis pelancaran di wilayah budaya barat laut, Siem Reap, Gabenor Bank Negara Kemboja, Chea Serey berkata aplikasi ini akan memudahkan pembayaran yang dilakukan oleh pelancong antarabangsa, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.

Ketua bank pusat itu berkata aplikasi ini akan mempromosikan sektor pelancongan Kemboja dengan menyediakan kaedah pembayaran elektronik yang membolehkan pelancong antarabangsa membayar barangan dan perkhidmatan dengan cekap dan mudah.

Pelancong antarabangsa hanya perlu memuat turun Aplikasi Bakong Tourists pada telefon mudah alih mereka sebaik tiba di Kemboja, kemudian mendaftar dan membuat akaun menggunakan e-mel.

“Pelancong antarabangsa boleh menambah nilai akaun mereka melalui rakan niaga dan membuat transaksi pembayaran dengan mengimbas Kod KHQR di kira-kira 3.3 juta peniaga runcit di Kemboja,” katanya.

Pelancongan adalah salah satu daripada empat tonggak yang menyokong ekonomi Kemboja, selain eksport pakaian, kasut dan barangan perjalanan, pertanian, serta sektor pembinaan dan hartanah.

Negara itu menerima 3.16 juta pelancong antarabangsa pada separuh pertama 2024, meningkat hampir 23 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Kementerian Pelancongan.

Lima negara penyumbang terbesar ketibaan pelancong antarabangsa ke Kemboja adalah Thailand, Vietnam, China, Laos, dan Amerika Syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here