KUALA LUMPUR, 1 Okt — Bioalpha Holdings Bhd telah mengukuhkan tapaknya di China melalui pelancaran tujuh produk makanan kesihatan baharu, yang dihasilkan melalui kerjasamanya dengan Jinrui Yandetang Co Ltd.

Minuman sedia diminum serta uncang serbuk bagi meningkatkan fungsi kesihatan, imuniti dan usus itu telah dilancarkan pada 26 Sept lepas, kata firma kesihatan tambahan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Ia mengandungi bahan-bahan herba Malaysia seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Misai Kucing.

“Ini merupakan pesanan sulung, kami tidak sabar-sabar untuk menerima lebih banyak tempahan dalam masa terdekat, memandangkan Jinrui mempunyai rangkaian yang luas merangkumi 50,000 pengedar di China.

“Kami menjangkakan, akan melihat sumbangan daripada Jinrui pada suku keempat 2019,” kata Pengarah Urusan Bioalpha William Hon.

Perjanjian kontrak pembuatan antara Bioalpha dengan Jinrui, sebuah syarikat pengendali pelaburan industri kesihatan China telah dimeterai pada Ogos tahun ini.

Jinrui yang berpusat di Shanghai, bertanggungjawab untuk pemasaran dan pengedaran produk, manakala Bioalpha membangunkan formulasi bagi memenuhi citarasa pengguna China, yang juga merupakan salah satu daripada pasaran eksport utama Bioalpha.

Dalam satu perkembangan lain, subsidiari milik penuh Bioaplha iaitu Bioalpha (HK) Ltd baru-baru ini telah berjaya memperolehi geran peringkat pertama berjumlah HK$466,913 (RM250,000) daripada Suruhanjaya Inovasi dan Teknologi Hong Kong bagi pembangunan produk generasi akan datang iaitu herba anti radang dan antitussif di Hong Kong.

Syarikat tersebut akan bekerjasama dengan Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong untuk bersama-sama mengenal pasti dua formulasi bagi merawat masalah radang dan pernafasan seperti asma serta artritis reumatoid.

Projek berkenaan akan membabitkan kajian ke atas daya penyembuhan buah manggis, misai kucing, cendawan susu harimau dan fungus ‘cordycep sinensis’.

Berdasarkan kepada formulasi yang akan dihasilkan, Bioalpha kemudian akan membangunkan produk kesihatan berdasarkan herba terbabit yang menyasarkan penyakit yang berkaitan.

“Penawaran baharu ini akan dipasarkan dan dikomersialkan di China, Hong Kong termasuk rantau Asia Tenggara.

“Projek selama 15 bulan ini dijangka akan bermula pada Mac 2020,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here