SHAH ALAM, 4 Okt — Top Glove Corporation Bhd akan memperuntukkan sebanyak RM600 juta sebagai perbelanjaan modal (capex) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2020 berbanding capex sebanyak RM632.17 juta untuk tahun kewangan 2019.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata sebahagian besar capex akan digunakan untuk automasi dan pendigitalan kilang, pengembangan barisan pengeluaran sarung tangan nitril, pembinaan jentera dan kilang baharu serta kemungkinan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar taklimat keputusan tahun kewangan 2019 dan suku keempat 2019 syarikat itu di sini hari ini.

Mengenai pengembangan barisan pengeluaran syarikat itu, Lim berkata sebanyak 80 peratus daripada capex untuk pengembangan kapasiti sarung tangan nitril, manakala baki untuk sarung tangan vinil dan getah.

“Pada masa ini, kami mengeluarkan lebih 30 bilion unit sarung tangan nitril setahun, iaitu kira-kira 50 peratus daripada jumlah pengeluaran sarung tangan tahunan kami.

“Kami hampir boleh mengatakan kami adalah pengeluar terbesar sarung tangan nitril, dari segi kapasiti dan pengeluaran,” katanya.

Sarung tangan nitril merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan kumpulan itu pada tahun kewangan 2019, menyumbang 46 peratus daripada jumlah perolehan, diikuti sarung tangan serbuk lateks (21 peratus), sarung tangan tanpa serbuk lateks (18 peratus), sarung tangan pembedahan (12 peratus), sarung tangan vinil (dua peratus) serta sarung tangan cast polyethylene (CPE) dan thermoplastic elastomer (TPE), masing-masing sebanyak satu peratus.

Pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu dijangka menyaksikan kapasiti pengeluaran tahunannya meningkat kepada 84.1 bilion pada akhir 2020 daripada 63.9 bilion pada masa ini, dengan barisan pengeluarannya naik kepada 876 barisan daripada 682 barisan pada masa ini.

Dengan usaha pengembangan yang sedang dijalankan, Lim berkata syarikat dijangka mencatatkan pertumbuhan jualan dan keuntungan sebanyak 10-20 peratus pada tahun kewangan 2020.

“Ini turut disokong oleh peningkatan yang berterusan dari segi permintaan sarung tangan getah global sebanyak 10 peratus setahun,” katanya.

Keuntungan bersih Top Glove merosot kepada RM370.6 juta pada tahun kewangan 2019 daripada RM424.4 juta sebelum ini, manakala perolehan meningkat kepada RM4.8 bilion pada tahun kewangan 2019 daripada RM4.22 bilion pada tahun lepas.

Mengulas mengenai keuntungan bersih yang rendah pada tahun kewangan 2019, Lim berkata ia hanya merupakan fasa kitaran perniagaan yang normal, dan beliau yakin prestasi akan meningkat pada tahun kewangan 2020.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here