KUALA LUMPUR, 9 Okt — Maxis Bhd dan Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd (CT Sabah) akan bekerjasama dalam menawarkan akses lebih luas kepada kesambungan gentian untuk rakyat dan perniagaan di Sabah menerusi penyediaan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Dalam kenyataan hari ini, Maxis berkata pihaknya akan mempunyai akses penuh kepada jaringan gentian optik CT Sabah menerusi perkongsian itu, membolehkan rangkaian terus menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pengguna pada kadar menarik.

“Maxis juga dapat menawarkan pelan gentian tersedia kepada lebih banyak kediaman dan perniagaan di Sabah mulai 1 Nov ini menerusi perkongsian tersebut,” menurutnya.

Selain itu, Maxis berkata melalui usaha memanfaatkan perkhidmatan dan infrastruktur CT Sabah, ia akan mempunyai akses kepada perkakasan dan teknologi perisian terkini bagi sistem pemantauan rangkaian 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Syarikat telekomunikasi itu juga akan memperolehi akses kepada kakitangan sokongan teknikal yang dedikasi dan kompeten untuk membantu pelanggan menguruskan transmisi rangkaian, dengan masa untuk pembaikan (MTTR) purata semasa adalah dalam tempoh dua jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata pihaknya memiliki cita-cita jelas iaitu untuk menjadi syarikat penyelesaian bertumpu terkemuka Malaysia dan berperanan penting dalam memacu penerimagunaan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Perkongsian dengan CT Sabah merupakan satu lagi pencapaian penting kami dalam memenuhi cita-cita bertumpu Maxis.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada CT Sabah kerana membantu kami merealisasikan ini, bukan hanya untuk Maxis malah rakyat dan perniagaan di Sabah memandangkan kami mahu menawarkan pelan gentian menarik kami untuk lebih banyak kediaman dan perniagaan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here