IPOH, 14 Nov — Penerbangan pertama dari Ipoh ke Guangzhou, China, bakal dilancarkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, pada 27 Nov ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing berkata susulan pelancaran itu, dua penerbangan terus ke Guangzhou akan dibuat dalam seminggu iaitu pada hari Rabu dan Sabtu.

“Orang ramai terutamanya dari Perak boleh mendapatkan maklumat lanjut serta harga tiket untuk perjalanan itu di laman web www.scandasky.com. Saya difahamkan ada diskaun tambahan bagi anak Perak yang memiliki kad pengenalan sebagai bukti lahir di sini,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX 2019) di sini hari ini, beliau berkata sehubungan itu beliau berharap agar pemain industri pelancongan dapat menyediakan pakej-pakej pelancongan yang menarik dengan memanfaatkan penerbangan ke Guangzhou itu.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak ScandaSky yang diterajui Tengku Faizwa Tengku Razif kerana membantu kerajaan negeri Perak untuk menjayakan penerbangan ini,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan merasmikan Ekspo hari ini turut menandatangani plak gimik pelancaran laman web www.scandasky.com di perkarangan Stadium Indera Mulia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here