PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) — Situasi COVID-19 di Malaysia kekal dua digit dengan penambahan 70 kes baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 6,726 kes, setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 88 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah sebanyak 5,113 kes iaitu 76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

“Terdapat 70 kes baharu yang telah dilaporkan, di mana 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia. Ingin dimaklumkan juga, bahawa daripada 70 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat 13 kes import dan 57 kes penularan tempatan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,504 kes,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini. 

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 20 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), satu kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian penyakit itu di Malaysia adalah sebanyak 109 kes iaitu 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-109 iaitu kes ke-6,657 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit barah hati. Dia telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8 Mei dan disahkan meninggal dunia pada 10 Mei jam 5.15 pagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ujian serologi Rapid Test Kit (RTK) Antibodi yang menggunakan sampel darah dari hujung jari (finger prick) tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan.

Jelasnya, ia disebabkan kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa manakala keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tidak dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, katanya ujian RTK Antibodi boleh digunakan bagi tujuan pelaksanaan kajian prevalen jangkitan penyakit itu di dalam masyarakat atau dalam kalangan kumpulan sasar seperti kumpulan pekerja selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa ujian itu boleh digunakan dalam aktiviti survelan dan kajian epidemiologi.

“Untuk makluman, buat masa ini tiada bukti kukuh dari kajian saintifik yang menunjukkan bahawa orang yang telah pulih daripada COVID-19 dan mempunyai antibodi adalah terlindung daripada jangkitan kedua,” jelasnya.

Berikutan itu, beliau menekankan ujian bagi mengesan virus COVID-19 adalah berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ataupun ujian RTK Antigen.

Kedua-dua ujian itu memerlukan pengambilan Nasopharyngeal (NPS) Swab oleh anggota yang terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet (BSC) ketika memproses sampel yang telah diambil, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here