PUTRAJAYA, 23 Mei — Pengoperasian kawalan di sempadan negara terus diperketatkan lagi termasuklah di setiap lorong-lorong tikus yang dikenal pasti, bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin selepas tamat sambutan Hari Raya Aidilfitri demi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah bersetuju dan mengeluarkan arahan kepada agensi-agensi yang menguatkuasakan kawasan sempadan negara, untuk terus mempertingkatkan dan memperketatkan kawalan sempadan.

Beliau berkata, timbul kerisauan apabila pendatang tanpa izin daripada negara berhampiran akan datang ke Malaysia, sejurus sektor-sektor perkilangan mula dibuka selepas tamat cuti Hari Raya.

“Kita akan memastikan kawalan sempadan diperketatkan, hasil usaha operasi benteng yang antaranya dianggotai agensi-agensi penguatkuasa sempadan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Jabatan Imigresen, telah berjaya menahan seramai 287 pendatang tanpa izin serta 28 tekong, atas percubaan memasuki negara secara haram.

“Mereka yang ditahan telah mencuba membolosi kawasan sempadan negara di Pantai Barat Semenanjung, kawasan sempadan Utara Malaysia-Thailand, kawasan sempadan Sarawak- Indonesia dan  Pantai Timur Sabah,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here