PUTRAJAYA, 22 Mei  — Umat Islam yang dijangka menyambut Aidilfitri hujung minggu ini diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk jarakan sosial bagi memastikan tiada peningkatan mendadak kes COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebimbangan kementerian adalah berdasarkan pengalaman di luar negara yang menyaksikan kes COVID-19 meningkat secara mendadak apabila rakyat mereka pulang ke kampung semasa perayaan.

“Jadi setiap rakyat Malaysia kena patuh SOP,  pastikan mereka kurangkan atau elakkan sama sekali kunjung-mengunjung dan lakukan jarakan sosial serta kerap mencuci tangan walaupun bersama ahli keluarga kerana kalau mereka patuh kita boleh kekalkan kes positif kepada dua digit,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Beliau juga berkata sekalipun hanya ada dua zon merah iaitu Pedas di Rembau, Negeri Sembilan dan Pudu di Kuala Lumpur, orang ramai harus mengekang pergerakan khususnya perjalanan melibatkan antara negeri.

“Kita boleh bawa virus balik kampung. Contohnya, satu kes dari Ampang yang dikesan di Kuala Krai, Kelantan. Susulan kes ini, kami memantau situasi dan pastikan jangkitan dibendung,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan sekarang adalah cekap kos serta dapat mengawal kes.

“Kalau kita lihat modelling kita PKP adalah lagi tepat dan efektif untuk turunkan kes tapi PKPB walaupun ia kurang efektif daripada PKP, sekurang-kurangnya ia tak meningkatkan jumlah kes yang begitu tinggi dan mendadak.

“Kita boleh menggunakan kaedah PKPB yang mana kos adalah lebih murah berbanding dengan pelaksanaan PKP, ” katanya.

Ditanya bagaimana beliau menyambut hari raya kali ini, Dr Noor Hisham berkata ia sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Setiap tahun saya sambut raya pertama di hospital untuk bersama para frontliners kita. Tahun ini pun tiada beza. Selepas solat raya di rumah saya akan ke hospital untuk menyambut Hari Raya bersama frontliners,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here