SHAH ALAM, 4 Julai — Isu kekurangan bekalan ayam di Selangor yang menyebabkan berlaku kenaikan harga makanan itu dijangka pulih dalam masa terdekat, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Beliau berkata melalui maklum balas yang diterima daripada pihak pengilang memproses ayam, jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang sudah ditingkatkan dan ia dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran.

“Punca berlakunya kenaikan harga ayam ketika ini adalah kerana pengurangan bilangan pengeluaran ayam ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu akibat permintaan berkurangan ketika itu.

“Pihak pengilang memaklumkan jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang telah dikurangkan kira-kira 60 peratus kerana peladang kurang yakin dengan situasi pasaran yang menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat permintaan berkurangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, selepas PKP dilonggarkan, permintaan terhadap ayam dilihat semakin meningkat sekali gus memberi impak terhadap harga ayam ketika ini.

Muhamad Zikril Azan berkata maklum balas tersebut diperoleh hasil pemeriksaan mengejut anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor ke atas dua kilang memproses ayam, masing-masing di Kampung Melayu, Sungai Buloh dan Klang dekat sini, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here