KUALA LUMPUR, 12 Julai — Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 266 kertas siasatan berhubung berita palsu COVID-19, setakat hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 172 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 12 diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 lagi telah mengaku bersalah.

“Pihak PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita tidak benar berkaitan pandemik itu. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya serta menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau laman web www.sebenarnya.my bagi menyemak kesahihan berita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here