KUALA LUMPUR, Julai 13 — Penganjuran sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada November ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata meskipun dunia masih berdepan pandemik COVID-19, Malaysia terus tekad untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya sebagai Pengerusi APEC bagi tahun ini.

“Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi meneruskan program kerja APEC dengan mengguna pakai format persidangan secara maya atau digital di peringkat kumpulan kerja dan pegawai kanan APEC,” katanya semasa menjawab pertanyaan ahli parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia, dengan sokongan padu anggota ekonomi APEC, sedang giat meneruskan pelaksanaan agenda APEC 2020 yang berlandaskan konsep ‘Kemakmuran Bersama’ selari dengan tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’.

“Tema ini bermatlamat untuk mewujudkan kerjasama yang seimbang dan adil dalam kalangan ekonomi APEC ke arah pembangunan yang lebih inklusif. Pelbagai inisiatif sedang diusahakan untuk mencapai agenda tersebut berdasarkan kepada tiga bidang keutamaan,” katanya.

Menurutnya, bidang keutamaan yang akan diberi penekanan ialah menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan dengan memberi fokus kepada integrasi ekonomi serantau yang lebih seimbang, inklusif dan lestari bagi kesejahteraan rakyat, penyertaan ekonomi yang inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi baharu dan memacu kelestarian inovasi.

Sementara itu, mengenai status perbincangan visi baharu yang akan menggantikan Matlamat Bogor yang berakhir hujung tahun ini, Mohamed Azmin berkata, Malaysia sedang giat mengadakan sesi perbincangan, libat urus dan mesyuarat bersama anggota ekonomi APEC, ahli akademik dan wakil industri secara berterusan bagi merangka Visi Pasca-2020 APEC.

Dari segi penganjurannya pula, beliau berkata Malaysia sedang menimbang kaedah penganjuran yang terbaik dan berkesan bagi sidang kemuncak ekonomi APEC 2020 pada hujung tahun ini bersesuaian dengan situasi pasca COVID-19.

“Kementerian sedang menimbang sama ada untuk melaksanakannya secara maya sepenuhnya kerana anggota APEC datang dari lapan zon masa yang berbeza,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here