KOTA BHARU, 20 Julai — Kerajaan Kelantan akan bekerjasama dengan pengusaha hotel untuk menjalankan proses mensanitasikan semua hotel di negeri ini bagi meningkatkan keyakinan pelancong selain menjamin penginapan yang selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, program itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memacu kembali industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.

“Meskipun COVID-19 belum berakhir, tapi industri pelancongan perlu diteruskan terutamanya peringkat domestik. Justeru, masyarakat mengambil peluang bercuti ke Kelantan kerana negeri ini kaya dengan budaya dan khazanah alam semulajadi,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam Program Ekspresi Media Kelantan 2020, serta melancarkan pakej “Jom Cuti Bersama Firefly” di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See dan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Program “Jom Cuti Bersama Firefly” yang bertujuan mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia itu turut mendapat kerjasama hotel terpilih dengan menawarkan baucar RM30 dan diskaun penginapan.

Program Ekspresi Media 2020 anjuran Toursim Malaysia selama lima hari bermula 16 hingga 20 Julai, berkonsepkan lawatan suai kenal secara interaktif untuk mengetengahkan produk berasaskan pelancongan pengalaman atau ‘experiential tourism’ yang bukan sahaja melibatkan destinasi menarik malah mendekati budaya, warisan, makanan dan pelancongan berasaskan komuinti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here