PETALING JAYA, 24 Julai: Pengedar kenderaan optimis jualan kenderaan penumpang dan perdagangan yang lebih tinggi pada separuh tahun kedua 2020 berikutan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan dalam pakej rangsangan ekonomi Penjana.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia Aishah Ahmad berkata mereka semak semula ramalan jualan kenderaan bagi 2020 daripada 400,000 kepada 470,000 unit. Dianggarkan 300,000 unit dijangka terjual pada separuh tahun kedua tahun ini.

Ramalan tahunan adalah penurunan 20% dari 2019, di mana kira-kira 600,000 unit terjual.

“Pengecualian cukai jualan akan merangsang jualan sebelum skim Penjana tamat 31 Dis ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menambah kadar faedah sewa beli juga sangat munasabah pada masa ini. “Sekarang masa yang tepat untuk beli kenderaan.”

Bagi jualan Jun, MAA melaporkan peningkatan jualan sebanyak 95%, apabila 44,695 kenderaan terjual berbanding 23,309 pada Mei.

Angkanya yang optimis ini kontras terhadap jualan sebenar pada separuh tahun pertama tahun ini.

Dari Januari hingga Jun, sebanyak 174,675 kenderaan terjual berbanding 296,317 pada tempoh masa yang sama tahun lepas.

Sebanyak 158,876 kenderaan penumpang terjual dan 15,799 kenderaan perdagangan terjual pada separuh tahun pertama 2020.

Beliau berkata ia kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada pertengahan Mac hingga pertengahan Mei 2020, apabila syarikat automatif menghentikan operasi.

“Syarikat automotif berdepan kesukaran pada permulaan 2020 dengan perubahan mendadak dalam Nilai Pasaran Terbuka (OMV) mengikut kaedah penilaian jabatan kastam pada Januari. Ia mengakibatkan syarikat terpaksa menunda pelancaran kereta baru dan sekaligus menganggu jualan kenderaan mereka.

“Permintaan kenderaan motor baru juga dilihat perlahan berikutan ketidaktentuan ekonomi serta kekurangan keyakinan pengguna ketika itu.”

Mengenai trend lain industri itu, Aishah melaporkan peningkatan jualan kereta terpakai sebanyak 100% berbanding tahun lepas, dengan peningkatan yang ketara di pinggir Kuala Lumpur.

“Kereta bawah RM30,000 laris,” katanya, dan menambah orang ramai teragak-agak menggunakan pengangkutan awam pada ketika ini dan rasa lebih selamat menaiki kereta sendiri.

Beliau meramalkan jualan kenderaan mewah yang bagus kerana pengecualian cukai jualan. Harga kereta yang lebih tinggi juga bermakna lebih banyak penjimatan dalam cukai jualan.

Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata tarikh akhir moratorium pinjaman bank akan memberi kesan pada jualan kereta selepas September, terutama jualan kenderaan harga rendah.

“Kenderaan harga tinggi tidak akan terkesan, kerana golongan yang berkemampuan mampu membelinya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here