KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Kerajaan komited untuk menjayakan agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)  dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan awal tahun hadapan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata bagi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dipengerusikannya, selain memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi Agensi Penyelaras Utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera. 

“Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas  kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selain itu, Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan Bumiputera sebagai bangsa usahawan.

“Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan TEKUN Nasional (Tekun) serta agensi-agensi mandat Bumiputera,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) mengenai langkah-langkah meningkatkan ekonomi Bumiputera khususnya yang semakin ramai menganggur dan hilang kerja tanpa menyalahkan bangsa lain. 

Jelas Muhyiddin, bagi suku kedua 2020 kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera adalah 5.2 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus manakala insiden kemiskinan dalam kalangan Bumiputera pada tahun 2019 adalah 7.2 peratus berbanding kaum Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here