KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Kerajaan negeri diminta merujuk kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum melaksanakan sesuatu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan PKP Pemulihan (PKPP), yang sedang dikuatkuasakan sekarang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi mengelak terdapatnya perbezaan dengan SOP yang dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat.

“Ada negeri-negeri yang buat keputusan sendiri, untuk membatalkan dan tidak benarkan beberapa aktiviti perniagaan dan aktiviti sosial…ada tidak benarkan kedai gunting rambut dan ada arahkan taman mainan mesti ditutup, malah ada negeri bercadang tutup beberapa kampung tertentu di bawah PKPD.

“Jadi kita mohon negeri berkaitan ini supaya merujuk dahulu kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, sama ada boleh dibenarkan atau tidak, seperti dilakukan oleh Sarawak suatu ketika dahulu yang memohon kebenaran untuk menyekat perjalanan rentas zon,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika sesuatu undang-undang itu dilaksanakan tanpa kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelaksanaan peraturan itu tidak boleh dikuatkuasakan, malah ia boleh dicabar di mahkamah jika tetap dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here