KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan Gerakan #SayaDigital untuk memperkasakan rakyat Malaysia bagi mempercepatkan pertumbuhan masyarakat digital di negara ini.

Ini akan membolehkan mereka merebut peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital negara, kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini. 

Ia berkata, matlamat utama gerakan itu adalah untuk mempercepat masyarakat digital dan merangsang negara melakukan lonjakan digital bagi berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“#SayaDigital mempunyai empat tujuan utama, iaitu; digital memudahkan kehidupan, menambah pendapatan, memperkasakan kerjaya dan meluaskan perniagaan,” kata perbadanan itu.

Sepanjang Ogos 2020, Gerakan #SayaDigital akan menampilkan beberapa program yang membolehkan rakyat Malaysia mahir secara digital serta memperkasakan perniagaan untuk bergerak ke arah pendigitalan dengan pantas dan berstruktur.

Dua minggu pertama gerakan ini memfokuskan pada peningkatan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan manakala dua minggu berikutnya akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk belajar dan meningkatkan kemahiran digital

Sidang Kemuncak Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang pertama kali dianjurkan di Malaysia baru-baru ini  berjaya menarik lebih dari satu juta peserta digital semasa sidang kemuncak tiga hari itu yang mana mereka belajar dan melaksanakan penyelesaian digital untuk memulakan semula atau mengembangkan perniagaan mereka. 

Bagi inisiatif dari 21-30 Ogos, seperti The Young Creators, Minggu #MYDigitalWorkforce dan Ekspo Gig dan Freelance (GFX) akan menumpukan perhatian usaha memupuk kemahiran bakat digital, meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan berdasarkan kemampuan mereka dengan pekerjaan digital yang sesuai. 

Kandungannya yang akan dilaksanakan secara maya sepenuhnya, terdiri daripada sesi webinar, perbincangan panel dan peluang perbincangan digital. Pameran kerjaya digital, pertandingan dalam talian dan acara satelit lain juga akan diadakan selama dua minggu.  

Kebanyakan sesi dan perbincangan utama akan disertai pakar industri dan sektor awam yang akan berkongsi trend, pandangan dan pemikiran terkini mengenai norma baharu dengan nasihat mengenai apakah perniagaan yang harus dipersiapkan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here