KUALA LUMPUR,25 Sept: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa dikehendaki menjalani kuarantin di Kota Kinabalu, Sabah setelah menjadi kontak rapat ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii yang disahkan positif Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan itu memaklumkan beliau menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan Covid-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, semalam.

“Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan di Faceboo.

Annuar berkata beliau menjalani ujian RT-PCR di Hospital Kuala Lumpur (HKL) 2 hari lepas dan disahkan negatif.

Katanya, beliau menjalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu semalam dan keputusan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Justeru, Annuar berkata, beliau terpaksa membatalkan kesemua jadual termasuk ceramah perdana bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini, selain lawatan ke Pitas dan Kota Belud hari ini.

“Saya akan terus bertugas dari kediaman saya dan akan berkomunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa,” katanya yang juga merupakan koordinator BN bagi pilihan raya negeri Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here