CYBERJAYA, 25 Sept — Pusat Internet Komuniti (PIK) telah membantu usahawan kecil terutamanya di luar bandar menambah pendapatan dan memperluaskan pasaran produk secara dalam talian melalui latihan dan kursus yang disediakan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Memberikan contoh PIK Teluk Rimba, Muar, Johor, usahawan yang bermula secara kecil-kecilan di sana kini berjaya memasarkan produk mereka hingga ke luar negara menerusi media sosial, antaranya karipap mini dan otak-otak.

Di PIK Taman Desa Permai di Marang, Terengganu pula, latihan yang disediakan kepada penyedia perkhidmatan ejen pelancongan serta peniaga pisang goreng, cendol dan kek turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Di Yan, Kedah, usahawan kecil yang mengeluarkan produk rempah, pes, tudung dan pekasam serta pengusaha inap desa dan pelancongan sukan luncur udara telah memanfaatkan latihan yang dijalankan di PIK Kampung Titi Teras untuk mempromosikan produk mereka, katanya.

MCMC berkata PIK Kiulu, Sabah pula telah membantu usahawan-usahawan kecil yang mengusahakan tanaman akuaponik dan produk pelancongan antaranya inap desa dan rekreasi seperti berakit.

Suruhanjaya itu sebelum ini mengumumkan pihaknya sedang menjalankan proses transformasi ke atas 1,064 PIK di seluruh negara. 

Fokus diberikan kepada tindakan PIK sebagai pusat yang bukan sahaja mampu menjana pekerjaan baharu dan memacu pertumbuhan aktiviti e-dagang, malah menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan rakyat, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here