BAGAN SERAI, 6 Okt — Kerajaan tidak mengabaikan rawatan kepada pesakit lain, walaupun tumpuan diberikan kepada pesakit COVID-19 yang semakin meningkat pada masa ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Katanya ini terbukti apabila kerajaan menetapkan 85 peratus katil di hospital di negara ini untuk rawatan pesakit lain dan hanya 15 peratus sahaja katil yang disediakan kepada pesakit COVID-19.

Beliau berkata, ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dan tidak mengabaikan pesakit lain termasuk penyakit denggi, virus Japanese Encephalitis (JE) dan sebagainya.

“Kerajaan memberi rawatan kepada pesakit dengan baik. Kalau ada kes banyak, mereka akan dihantar mendapatkan rawatan di hospital berdekatan termasuk hospital swasta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Agihan Keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian Tahun 2020, di sini hari ini.

Pada majlis itu, 178 peserta menerima agihan RM300 setiap seorang berjumlah RM53,400.

Sementara itu, Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata setakat ini, kerajaan masih belum memutuskan berkaitan penutupan semua sekolah di negara ini, walaupun jumlah kes semakin meningkat.

Sebaliknya, beliau berkata tindakan pengesanan secara aktif akan dilakukan dan kontak rapat akan dikesan selain pelaksanaan nyah kuman di tempat yang dikesan berlaku kes baharu. 

“Sesetengah tempat jika ada kes positif COVID-19, ia akan ditutup selama dua hingga tiga hari namun sekolah mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat ketat dengan melakukan penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu badan dan tiada aktiviti luar.

“Kalau mereka di asrama, pelajar memang tidak boleh balik ke rumah dan kekal di tempat itu kerana lebih selamat,” katanya.

Mengenai ujian swab di Sabah, Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan mempunyai keupayaan membuat 2,000 ujian dalam sehari, dan terdapat juga sampel ujian yang dihantar ke Semenanjung untuk bantuan ujian oleh kakitangan di negeri lain sekali gus dapat mengurangkan tempoh menunggu keputusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here