KUALA LUMPUR, 20 Okt — China kekal sebagai pelabur asing terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk empat tahun berturut-turut sejak 2016, dengan 32 pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah US$452.43 juta (US$1=RM4.14) telah diluluskan dalam tempoh enam bulan pertama 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata Malaysia telah meluluskan sebanyak 79 FDI bernilai US$3.74 bilion dari China pada tahun lepas.

Dari segi jumlah perdagangan, katanya perdagangan dua hala antara Malaysia dan China sebanyak US$80.06 bilion dari Januari hingga Ogos 2020, manakala pada 2019, perdagangan dua hala mencecah US$123.96 bilion.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19, Malaysia dan China terus menunjukkan hubungan yang baik untuk menyokong antara satu sama lain dan mengatasi kesukaran bersama dalam tempoh mencabar ini.

“Saya berharap golongan elit korporat dari kedua-dua negara akan terus bekerjasama dalam sektor seperti data raya ekonomi digital, ekonomi inovatif serta inovasi industri dan pertanian moden,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2020 yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Bertemakan “A Decade of Excellence in Malaysia-China Cooperation”, MCEC ke-10 itu merupakan anjuran bersama Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Jabatan Perdagangan Wilayah Fujian, dan dianjurkan bersama oleh China Construction Bank (M) Bhd dan China Construction Bank Fujian Branch.

Persidangan tahunan separuh hari itu menyasarkan untuk meningkatkan pertukaran ekonomi dan perdagangan, selain kerjasama antara Malaysia dan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here