PETALING JAYA, 22 Okt: Pemegang taruh di Johor berkata kerajaan perlu mencari jalan baru untuk membuka semula perjalanan rentas sempadan dengan Singapura kerana peraturan sedia ada dilihat merugikan ekonomi negeri itu.

Walaupun Singapura dan Malaysia mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), mereka berkata, kedua-dua langkah perjalanan itu mempunyai skop terhad yang menyekat pergerakan rentas sempadan penting bagi perniagaan Johor.

Soh Thian Lai, presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) memberitahu FMT, kedua-dua negara perlu mempermudahkan 250,000 pengembara yang biasa berulang-alik setiap hari dari Johor ke Singapura, yang tidak dilindungi oleh peraturan perjalanan semasa.

Beliau berkata, penutupan lanjutan mengejutkan banyak pihak sehingga ada yang terkandas di Singapura dan yang lain kehilangan pekerjaan kerana tidak dapat pergi bertugas di republik itu.

“Singapura memerlukan tenaga kerja dari Malaysia, dan pekerja Malaysia memerlukan pekerjaan dan pendapatan untuk menampung keluarga mereka dan melunaskan komitmen kewangan,” katanya.

Memandangkan kedua-dua negara berjaya menangani pandemik dengan baik dalam beberapa minggu lalu, Soh berkata, FMM akan menyokong sebarang cadangan untuk membenarkan “gelembung perjalanan bersasar” dengan SOP ketat, khusus untuk rakyat Johor yang berulang-alik bekerja setiap hari ke Singapura.

Peraturan seperti itu dilaksanakan di luar negara, melalui skim baru iaitu “Trans-Tasman bubble”, membolehkan penduduk New Zealand melakukan perjalanan ke New South Wales dan Wilayah Utara di Australia tanpa kuarantin.

Jimmy Leong, presiden Persatuan Pemandu Pelancong Johor, bersetuju langkah tersebut perlu dipertimbangkan untuk memelihara sektor pelancongan negeri itu, tetapi berkata, kedua-dua kerajaan perlu berhati-hati dengan kesan pergerakan besar-besaran di sempadan.

“Pihak berkuasa perlu mempertimbangkan dengan serius kemampuan mereka untuk menangani jumlah orang merentas sempadan yang besar,” katanya.

Beliau berkata, banyak pemain pelancongan bergelut untuk berdepan dengan penutupan sempadan.

“Kita dapat lihat penutupan banyak peruncit dan premis yang dahulu stabil di Johor Bahru kerana ketiadaan pelancong harian dari Singapura.”

Bagaimanapun dari sudut perubatan, Azrul Mohd Khalid, ketua pegawai eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, peraturan seperti itu sukar dari segi logistik.

“Gelembung perjalanan adalah rapuh dan bersifat sementara,” katanya, seain menambah bahawa gelembung tempatan adalah sesuatu yang mustahil “melainkan Johor menutup sempadannya dengan negeri lain (di Malaysia)”.

Bagi aktiviti rentas sempadan tanpa kuarantin, Azrul berkata, Malaysia dan Singapura “perlu saling mempercayai kefahaman dan respons masing-masing terhadap wabak itu kedua-dua negara.

“Mereka perlu bekerjasama dan bersetuju dengan prosedur ujian dan pengesanan yang mantap sekiranya mahu menghapuskan arahan kuarantin 2 minggu. Ia mesti boleh dipercayai dan telus, berdasarkan protokol standard yang boleh diterima bersama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here