PETALING JAYA, 10 Nov: Pemain industri pelancongan di Johor percaya sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) akan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negeri itu selepas sekatan perjalanan, terutamanya ke negara jiran Singapura dibatalkan.

Kini, Singapura dan Malaysia mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), tetapi skopnya terhad, di mana perjalanan merentas sempadan masih disekat.

Ketua Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng yakin pasaran acara perniagaan dengan potensi luar biasa untuk maju belum “diterokai sepenuhnya”.

“Ia mungkin menjadi talian hayat kepada pelancongan apabila pemulihan berlaku,” katanya kepada FMT.

Yap berkata, Johor berpotensi tinggi dibangunkan menjadi destinasi acara perniagaan utama di Malaysia berikutan lokasinya.

“Johor adalah pintu masuk penting ke Malaysia dan sangat mudah diakses dari Singapura, hab paling sibuk di Asia Tenggara.”

Pengerusi Persatuan Pelancongan Johor, Jimmy Leong berkata, sektor MICE selalu menjadi penyumbang utama industri pelancongan, yang meliputi pelbagai perniagaan termasuk hotel, syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan, pembekal makanan dan minuman serta hampir setiap cabang lain sektor pelancongan.

Menurut statistik Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), perbelanjaan pengunjung acara yang dijamin dan disokong biro itu, khususnya untuk Johor dari 2010 hingga 2019 berjumlah RM55.4 juta.

Impak ekonomi dalam tempoh sama dianggarkan sekitar RM96.7 juta, tidak termasuk pendapatan daripada acara perniagaan tidak melibatkan biro itu.

Leong berkata, pengunjung MICE cenderung berbelanja lebih banyak daripada pelancong santai kerana sebahagian besar perbelanjaan mereka ditaja.

“Malaysia boleh menjadi destinasi utama MICE di rantau ini memandangkan penjenamaan dan promosi ‘Truly Asia’ kita secara global,” katanya sambil menambah bagaimanapun ia memerlukan banyak penambahbaikan dari segi prasarana dan perkhidmatan sedia ada.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong berkata, industri pelancongan negeri itu akan pulih lebih cepat, sekiranya RCL dan PCA dibuka untuk aktiviti MICE.

Namun, beliau bimbang dengan perintah kuarantin wajib yang akan menghalang pengembara perniagaan berpotensi.

“Perintah kuarantin akan menyusahkan pengembara untuk jangka pendek, terutamanya bagi mereka yang datang untuk tujuan kerja.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here