PETALING JAYA,20 Nov: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menjadikan kemudahan penjagaan kesihatan awam untuk memerangi pandemik Covid-19 kerana sebahagian besarnya masih kurang digunakan.

Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy berkata, kemudahan penjagaan kesihatan swasta boleh mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan awam.

“Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac, sebahagian besar respons penjagaan kesihatan Malaysia diketuai kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

“Terdapat waktu puncak pandemik ketika kemudahan kerajaan digunakan sehingga tahap maksimum di hospital atau kawasan tertentu. Bantuan atau sumbangan dihulurkan orang ramai, NGO dan rakyat prihatin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subramaniam berkata, sektor penjagaan kesihatan swasta mengalami tren penurunan dalam jumlah pesakit. Peraturan sekatan pergerakan, kebimbangan dijangkiti Covid-19 dan kemampuan antara punca utama penurunan itu.

Banyak klinik dan hospital swasta, katanya, melaporkan pesakit yang lebih sedikit menyebabkan pendapatan merosot antara 70% dan 80% serta mengancam kemampanannya.

“Ramai doktor kanan berpengalaman turut mempertimbangkan penutupan atau bersara. Dianggarkan kira-kira 200 klinik di seluruh negara akan ditutup menjelang akhir tahun.”

Beliau memberi amaran kehilangan doktor dan klinik sektor swasta akan menyebabkan lebih banyak kesesakan di kemudahan kerajaan, menambah beban ke atas dana dan sumber manusia.

Beliau turut mengingatkan kemudahan awam yang sesak akan menjejaskan kualiti rawatan pesakit dan akses perubatan.

Beliau menggesa kerajaan memberi geran dan pengecualian cukai kepada sektor penjagaan kesihatan swasta dalam fasa pemulihan pandemik, khasnya menyasarkan penjagaan utama dikekalkan.

Katanya, perkhidmatan tertentu seperti rawatan ketika hamil dan susulan untuk pesakit dengan penyakit tidak berjangkit boleh disumberluarkan daripada hospital awam kepada sektor swasta bagi mengelakkan kesesakan.

“MMA percaya keberkesanan kos penyumberluaran perkhidmatan dan pelaburan rangsangan dalam penjagaan kesihatan swasta akan menghasilkan banyak manfaat dalam memperluaskan akses penjagaan kesihatan kepada semua.

“Sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta perlu berada dalam hubungan simbiosis, jika negara akan ditawarkan penjagaan kesihatan paling berkesan kepada semua untuk membendung pandemik dan seterusnya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here