KUALA LUMPUR, 1 Dis — Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM109.8 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, sektor pembuatan menyumbang RM65.3 bilion atau 59.5 peratus, diikuti sektor perkhidmatan (RM42.8 bilion atau 39.0 peratus) dan sektor utama (RM1.7 bilion atau 1.5 peratus).

 “Pelaburan ini membabitkan 2,395 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah 61.2 peratus atau RM67.2 bilion, manakala selebihnya adalah pelaburan langsung asing (FDI).

MITI berkata lima sumber utama FDI bagi pelaburan yang diluluskan dalam ketiga-tiga sektor berkenaan ialah China (RM17.0 bilion), Singapura (RM8.0 bilion), Amerika Syarikat (AS) (RM2.8 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion) dan Netherlands (RM2.4 bilion).

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhasrat memanfaatkan insentif yang berdaya saing dalam Belanjawan 2021 untuk mencari dan menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing, bagi menggunakan peluang sepenuhnya di Malaysia.

“Kami yakin pelabur akan mendapat nilai dengan memanfaatkan rangkaian industri sokongan tempatan yang kukuh di Malaysia dan tenaga kerja berbakat untuk menjalankan penghasilan produk berteknologi tinggi dan perkhidmatan nilai tambah tinggi.

“Ia bagi memenuhi keperluan pelanggan mereka di rantau ini pada masa ini dan akan datang,” katanya.

Mengenai projek yang diluluskan negeri, MITI berkata Selangor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menyumbang RM76.8 bilion atau 69.9 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi Januari hingga September 2020.

Dalam sektor pembuatan, sebanyak 740 projek bernilai RM65.3 bilion diluluskan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini daripada 669 projek bernilai RM56.0 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019.

MITI berkata ini mewakili 16.6 peratus peningkatan dalam pelaburan modal dan projek-projek ini akan mencipta 51,172 peluang pekerjaan dalam ekonomi.

Ini kebanyakannya merangkumi produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.0 bilion), produk logam asas (RM14.5 bilion), elektrik dan elektronik (RM7.7 bilion), jentera serta peralatan (RM5.8 bilion), produk kimia serta kimia (RM4.5 bilion), pengeluaran makanan (RM3.0 bilion), peralatan pengangkutan (RM3.0 bilion) dan peralatan saintifik dan pengukuran (RM2.1 bilion).

DDI dalam sektor pembuatan mencatat peningkatan 45.5 peratus kepada RM25.9 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, manakala nilai FDI diluluskan naik 3.2 peratus kepada RM39.4 bilion.

“Sumber utama FDI bagi tempoh Januari hingga September 2020 adalah China, Singapura, Switzerland, AS, Netherlands, Thailand, Jepun dan Korea Selatan. Ini menyumbang kepada 91.4 peratus atau RM36.0 bilion daripada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan,” katanya.

Menurut MITI, bagi sektor perkhidmatan, ia merekodkan 2,180 projek yang diluluskan dengan pelaburan RM42.8 bilion dalam tempoh Januari hingga September. Projek-projek perkhidmatan ini dijangka mewujudkan 13,390 pekerjaan kepada ekonomi.

Jelasnya, DDI mendahului jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan dengan menyumbang RM40.6 bilion (94.9 peratus) manakala FDI mewakili RM2.2 bilion.

“Kebanyakan sub-sektor perkhidmatan utama menunjukkan penurunan yang ketara dalam pelaburan diluluskan melainkan perkhidmatan sokongan, projek berstatus MSC serta perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti status BioNexus dan pembangunan perisian.

“Lima penyumbang utama ialah hartanah (RM23.7 bilion), utiliti (RM7.2 bilion), perkhidmatan sokongan (RM4.0 bilion), telekomunikasi (RM2.6 bilion) dan perkhidmatan kewangan (RM2.1 bilion),” menurut kementerian itu.

Sementara itu, sektor utama — terdiri daripada perlombongan, pertanian dan perladangan dan sub-sektor komoditi — menarik pelaburan bernilai RM1.7 bilion.

Menurut MITI, FDI mendominasi jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini dengan merekodkan RM1.0 bilion (58 peratus), manakala DDI menyumbang RM653.2 juta atau 41.2 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here