PETALING JAYA,24 Dis: Lebih banyak pengusaha majlis perkahwinan dijangka akan bertukar bidang sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) bersyarat dilanjutkan, kerana dalam keadaan sekarang pun mereka sukar hendak bertahan.

Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) berkata banyak pengusaha sudah pun beralih arah kerana perniagaan mengalami kerugian teruk.

“Pelanggan semua masih was-was jadi memang teruk perniagaan terutama di Lembah Klang,” kata Setiausaha Agung, Arabath Ali Arul Alavudeen kepada FMT.

“Kalau macam ini saya rasa tak ‘survive’…kebanyakan perniagaan kecil telah tutup dan pergi kerja tempat lain.”

Arabath berkata setakat ini 30% hingga 40% pengusaha mahu tukar perniagaan.

Di Selangor, Sabah dan Kuala Lumpur, tempoh PKPB dilanjutkan sehingga 31 Dis kecuali di Kuala Selangor, Sabak Bernam, dan Hulu Selangor, yang bawah PKP pemulihan.

PKPB juga berkuat kuasa di Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13 Timur Laut (Pulau Pinang); Ipoh dan Chemor (Perak); Port Dickson (Negeri Sembilan); dan Johor Bahru, Batu Pahat, dan Kulai (Johor).

Arabath memaklumkan banyak pelanggan menunda tarikh majlis mereka dan meminta wang dipulangkan semula.

Menurut Arabath, 10% pelanggan ahli persatuan mahu wang dikembalikan.

“Pengusaha pun sudah tidak ada wang untuk memulangkan balik dan banyak kes tribunal sedang berjalan,” katanya.

Ditanya apa yang boleh kerajaan lakukan untuk membantu industri perkahwinan, Arabath mencadangkan kerajaan mengusahakan kelonggaran syarat pinjaman, dan memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, SME Corp, dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

“Saya juga meminta kerajaan untuk memberikan subsidi penyewaan dewan perkahwinan dari sewa asal kepada para peniaga yang menyewa premis dengan bertujuan mengadakan dewan perkahwinan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here