KUALA LUMPUR, 3 Jan — PAS bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN) di samping mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan. 

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata PAS tidak mahu terlibat, mahu pun dilibatkan dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan dan sekali gus mengundang ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.

“Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional, PAS berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan yang amat sukar,” katanya.

Selain itu, PAS menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan baik dan berintegriti.

Katanya PAS sebagai sebuah parti politik utama negara yang berprinsipkan Islam dengan tegas berpandangan aspek perpaduan amat penting dalam proses bina negara demi kepentingan rakyat.

“PAS amat percaya hanya perpaduan sejati dan ikhlas mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat-menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here