PETALING JAYA,Jan 21: Bos AirAsia Tony Fernandes seolah-olah telah menjolok sarang tebuan apabila beliau menggambarkan respons kerajaan sedunia terhadap pandemik Covid-19 sebagai “mengerikan” dan “kurang koordinasi”, sekali gus menyebabkan industri penerbangan dan pelancongan terkesan teruk.

Seorang pakar pengangkutan dan ahli ekonomi bagaimanapun berkata, beliau hanya menyuarakankebenaran yang menyakitkan.

Fernandes, ketua pegawai eksekutif AirAsia Group, memberitahu BBC bahawa koordinasi global berkenaan Covid-19 adalah “mengerikan”, dengan menyebut bagaimana negara berbeza mengenakan syarat yang berbeza untuk pelancong.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bersama-sama industri pelancongan, seharusnya mengetengahkan beberapa protokol standard,” katanya.

“Sepanjang sejarah saya dalam industri penerbangan, saya tidak pernah melihat koordinasi yang begitu lemah.”

Perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan menyokong gesaan Fernandes supaya protokol yang seragam diwujudkan bagi semua negara anggota Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), dengan berkata, ia sepatutnya telah dilaksanakan sekarang kerana sudah lebih setahun wabak itu melanda.

Katanya kepada FMT, protokol standard akan membolehkan syarikat penerbangan dan lapangan terbang terus beroperasi, selain memberi manfaat kepada hotel dan kedai makanan dan minuman di destinasi.

“Sebagai contoh, setiap pelancong mesti membawa sijil ujian yang sah untuk menunjukkan bahawa mereka (diuji) Covid-19 negatif, yang mesti diterima oleh syarikat penerbangan, pihak berkuasa lapangan terbang dan imigresen di pelbagai negara.

“Protokol sepatutnya dirancang untuk membantu, bukannya mengehadkan. Amalan antarabangsa harus menentukan dan menjadi model kepada negara lebih kecil.

“Dengan cara ini, ekonomi dapat terus berfungsi, walaupun mungkin tidak berjalan lancar.

“Saya percaya ini akan memudahkan perjalanan antarabangsa tanpa merencatkan (operasi) syarikat penerbangan atau menghentikannya sepenuhnya,” katanya.

Rosli berkata, protokol sekunder boleh dilaksanakan sekiranya terdapat kes Covid-19, dengan agensi kesihatan tempatan masing-masing memainkan peranan mereka.

“Jangan lupa, masih ada tempoh kuarantin yang boleh dikenakan,” katanya.

Tambahnya, pelancong harus diberitahu tentang prosedur operasi standard (SOP), yang disetempatkan, yang akan dipatuhi oleh semua negara anggota IATA.

Beliau juga berkata, tidak adil apabila pengangkutan awam dibolehkan beroperasi dengan SOP yang lebih longgar sementara perjalanan antarabangsa masih dihadkan, walaupun seseorang itu mempunyai keputusan negatif Covid-19 yang sah.

“Agak ‘mengerikan’ apabila sekatan menyeluruh dikenakan sebagai peraturan umum tanpa alasan yang sah atau pemahaman yang jelas tentang bagaimana protokol yang mudah dapat mencegah keruntuhan ekonomi.

“Atau dalam kes ini, kejatuhan banyak syarikat penerbangan, hotel dan rangkaian industri pelancongan yang baik,” katanya.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia mengaitkan perbezaan dasar di negara berlainan dengan organisasi global seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menawarkan nasihat yang bertentangan dalam hal-hal seperti sekatan dan protokol perjalanan.

“Kerana kegagalan memberikan nasihat global yang efektif, negara hanya menjaga kepentingan mereka sendiri – itulah sebabnya polisi-polisi menjadi sangat berbeza,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa salah satu kepincangan dasar ialah membenarkan (perjalanan) pelancong dari Wuhan, China, ketika virus sedang menular di bandar itu.

Beliau berkata, kerajaan dan penasihat perubatan harus memikul tanggungjawab atas kegagalan polisi mereka, dengan menambah bahawa selain pandemik itu sendiri, kemusnahan yang disebabkannya boleh dilihat di mana-mana.

Williams berkata, satu-satunya cara bagi memulihkan segera industri penerbangan ialah dengan membenarkan perjalanan antarabangsa dan menamatkan peraturan kuarantin, yang menurutnya sukar dilaksanakan dengan jumlah kes yang meningkat di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here